SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN CHUCHOH PUTERI




Sekolah Kebangsaan Chuchoh Puteri telah diwujudkan pada 1hb. Januari, 1978. Kementerian Pendidikan telah menyediakan sebuah bangunan satu tingkat yang mengandungi bilik guru, bilik guru besar, pejabat, tiga bilik darjah, stor barang dan dua bilik tandas, tiada padang dan kantin. Di bawah bumbung inilah, kumpulan pertama seramai enam orang guru telah mula menempa sejarah pendidikan rasmi di kawasan rancangan tanah yang terpencil ini.

Kemasukan murid pada tahun pertama sekolah ini dibuka (1978) ialah seramai 40 orang, murid diasingkan mengikut umur dan ditempatkan dalam kelas-kelas cantum. Pada akhir tahun 1978, jumlah murid ialah seramai 70 orang. Guru Besar yang pertama ialah Encik Muhammad bin Mahmood, telah bekerja keras untuk menyesuaikan keadaan dan keperluan sekolah, sebuah kantin sementara telah didirikan dengan kerjasama peneroka-peneroka tempatan. Pada tahun 1980, sebuah rumah guru Kelas H telah dibina oleh Kementerian Pendidikan.

Jumlah murid telah bertambah dari setahun kesetahun, pada tahun 1979, murid telah berjumlah 108 orang dan guru seramai 7 orang. Pada tahun 1980, jumlah murid telah bertambah kepada 142 orang dengan guru seramai 8 orang. Bilangan kelas sudah melebihi kelas yang ada. Masalah bilik perpustakaan, kantin, stor SPBT masih belum ada. Pada tahun 1981, PIBG telah berusaha dan berjaya mendirikan satu blok bangunan kayu yang mengandungi dua bilik darjah dan satu pentas. Bilik-bilik ini diubahsuai menjadi dewan perhimpunan jika perlu.

Pada awal tahun 1982, satu blok bangunan satu tingkat mengandungi tiga bilik darjah , satu bilik perpustakaan dan satu stor barang telah dibina oleh Kementerian Pendidikan. Serentak dengan itu,  kerja menyiapkan padang permainan dan memagar kawasan sekolah seluas 11.2 ekar (4.48 hektar) juga dijalankan. Bangunan baru ini telah mula digunakan dalam bulan Januari 1983. Pada tahun 1984, dua unit rumah guru berkembar telah didirikan untuk menampung keperluan guru semasa. Pada tahun 1986, satu lagi bangunan projek gotong-royong telah didirikan, mengandungi 5 bilik darjah dan satu tandas. Bangunan ini telah digunakan pada 4hb. Januari 1987.

Bermula dari 1hb. Januari, 1988, sekolah ini telah dinaikkan tarafnya ke Gred “B” . Berikutan dengan itu, tenaga pentadbir juga bertambah, iaitu terdiri daripada Guru Besar, Guru Kanan I, Guru Kanan II dan Guru Kanan Ko-Kurikulum. Pada tahun ini juga, satu unit rumah guru berkembar telah didirikan. Pada akhir tahun ini pula, satu lagi projek rumah guru telah dilaksanakan yang terdiri daripada lapan unit rumah kelas H dan satu unit kelas F menjadikan rumah guru sebanyak 16 unit.

Gred sekolah telah dinaikkan daripada B kepada A berkuatkuasa mulai 28hb. Disember, 1993. Berikutan dengan kenaikan taraf tersebut, jawatan Guru Kanan juga telah dinaikkan kepada Penolong Kanan dan sekolah ini telah menerima 3 orang Penolong Kanan yang baru mulai 16hb. Januari, 1995.

Mulai Ogos 1994, sekolah telah mendapat projek penyenggaraan khas di bawah pengawasan KESEDAR. Projek ini meliputi penggantian pagar sekolah, pembinaan tandas guru dan murid, pengubahsuaian stor sukan dan sistem air yang terdiri daripada sebuah telaga, dua buah pam dan dua buah tangki. Tangki utama boleh menyimpan air sebanyak 4800 gelen pada ketinggian 30 kaki.

Pada 8 Mac 2011, semua kelas, bilik-bilik khas dan pejabat mula berperasi di bangunan baharu yang terdiri daripada dua blok setinggi empat tingkat. Bangunan baharu ini merupakan bangunan yang dibina oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan mula digunakan secara rasmi bagi menggantikan bangunan lama yang telah uzur. Bangunan ini dilengkapi dengan kemudahan bilik-bilik khas yang selesa seperti bilik Kemahiran Hidup, makmal Sains, pejabat, perpustakaan, bilik tayangan, bilik rawatan, bilik JQAF, bilik guru dan sebagainya. Kemudahan-kemudahan yang disediakan ini dapat memberikan keselesaan kepada murid-murid dan guru-guru.